Hari ini kita dapati semakin ramai umat Islam yang meninggalkan solat Jumaat. Ada yang leka menjamu selera dan berbual-bual di kedai kopi ketika orang lain sedang menunaikan fardhu Jumaat. Ada yang mengambil kesempatan balik tidur di rumah tanpa merasa berdosa meninggalkan solat Jumaat. Ada pula yang pergi ke masjid tetapi tidak mahu menunaikan solat, sebaliknya melepak di atas tembok, basikal dan motorsikal tanpa merasa bersalah.
Mereka pulang bersama orang yang bersolat Jumaat pulang. Mereka tidak sedar bahawa hukum meninggalkan solat Jumaat walaupun sekali adalah berdosa besar. Jika kita tidak menunaikan solat Jumaat hati kita akan ditutup rapat dan tidak dapat lagi menerima kebaikan dan hidayah. Kita juga akan terpinggir dari rahmat Allah. Malah kita akan digolongkan bersama orang-orang yang munafik. Orang munafik ini menurut firman Allah dalam surah An-Nisa' bakal dihumban ke dalam neraka yang paling bawah, di dasar jahanam. Alangkah malang dan hinanya nasib manusia yang tidak mahu menunaikan solat Jumaat ini .
Allah berfirman dalam surah An-Nisa' ayat 145:
"Sesungguhnya orang-orang munafik itu di tetapkan pada tingkatan yang paling bawah di kolong neraka. Dan engkau tidak sekali-kali akan mendapat sesiapa pun yang boleh menolong mereka".
DALIL SOLAT JUMAAT
Kewajipan mendirikan solat jumaat telah dijelaskan dalam Surah Al-Jumu'ah ayat 9, Allah berfirman maksudnya:
"Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan (bang) untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang Jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu), yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya)".
Ayat ini jelas menunjukkan suatu kewajipan mingguan umat Islam iaitu segera menyahut panggilan solat Jumaat. Mereka wajib meninggalkan premis perniagaan atau pejabat dan pekerjaan mereka demi untuk menghadirkan diri ke masjid dan demi solat fardhu Jumaat. Rasulullah S.A.W. juga telah bersabda:
"Menghadirkan solat jumaat itu adalah kewajipan setiap orang yang telah cukup umur baligh" - (Riwayat An-Nasa'i)
Apa yang merunsingkan kita akhir-akhir ini ialah semakin bertambah bilangan orang yang tidak menunaikan solat Jumaat. Allah telah mewajibkan setiap umat Islam untuk menunaikan solat-solat tertentu secara harian dan mingguan sebagai fardhu ain yang mesti dilaksanakan demi membangun sifat-sifat kemanusiaan yang baik dan utuh dalam jiwa mereka. Tanpa solat fardhu lima waktu dan solat Jumaat orang Islam akan runtuh sifat-sifat keislaman mereka. Iltizam mereka terhadap syariat Islam akan menjadi luntur. Mereka akan mudah berubah menjadi peruntuh sendi kerukunan hidup bermasyarakat dan bernegara.
Rasulullah S.A.W. bersabda:
"Sesiapa yang meninggalkan solat fardhu secara sengaja maka dia kafir terang-terangan"- (Riwayat At-Tabrani)
Kesimpulannya, marilah sama-sama kita mengerjakan kewajipan solat Jumaat bagi mengelakkan diri kita di seksa di akhirat serta mendapat hukuman di dunia. Kewajipan ini juga termasukklah mengerjakan solat 5 kali sehari semalam. JOM SOLAT JUMAAT & SOLAT FARDHU...
ENAKMEN KESALAHAN SYARIAH ( NEGERI MELAKA ) 1991
Seksyen 46 - Tidak menunaikan sembahyang Jumaat.
“ Seseorang lelaki yang telah mencapai umur baligh dan yang tidak menunaikan sembahyang Jumaat di Masjid dalam kariahnya dengan ketiadaan uzur syarie dan dengan ketiadaan sebab-sebab yang munasabah adalah merupakan suatu kesalahan dan apabila disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali ”.
RENUNG-RENUNGKAN DAN SELAMAT BERAMAL =)
Sumber dari : http://www.pmm.edu.my
MUCH LOVE BY : EYFAALIAS
3 comments :
thanks sharing.. :)
thanks sudi baca and comment :)
alhamdulillah..so far xde ponteng tnp keuzuran. :D
layak jd calon suami mithali x? :P
Post a Comment